Anwar seru sistem pembiayaan antarabangsa lebih adil, tidak membebankan
NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya sistem pembiayaan antarabangsa diperbaharui agar lebih adil dan tidak menjerumuskan negara membangun ke dalam beban hutang yang tidak tertanggung.
Beliau berkata, langkah itu penting ketika banyak negara masih bergelut mencapai kemajuan ekonomi, malah terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk membayar faedah hutang berbanding membiayai sektor pendidikan dan kesihatan.
“Sistem pembiayaan antarabangsa perlu lebih adil dan tidak menjerumuskan negara ke dalam hutang yang tidak tertanggung hanya kerana mahu memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, hari ini.
Beliau turut menggesa supaya inisiatif menerusi New Development Bank dipercepatkan, selain memperluas mekanisme penyelesaian perdagangan menggunakan mata wang tempatan serta meneroka potensi besar pasaran modal Islam.
Menurutnya, negara-negara BRICS juga perlu mengambil langkah konkrit untuk menangani amalan perdagangan tidak adil, berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama teknikal dan latihan dalam bidang baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“Peralihan hijau mesti mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua mampu bergerak pada kadar atau melalui jalan yang sama.
“BRICS memiliki kelebihan geoekonomi menerusi pasarannya yang luas sekali gus membuka ruang mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat serta menjana kemakmuran bersama,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, usaha mencapai pertumbuhan inklusif dan kemakmuran tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan konflik geopolitik yang turut memberi kesan kepada ekonomi dunia.
“Pencerobohan Israel di Asia Barat turut menyebabkan negara-negara yang tidak terlibat dalam peperangan ini menanggung akibat melalui inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
“Pendirian Malaysia jelas: kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” tegasnya.
Anwar turut menegaskan BRICS perlu menyatakan pendirian secara jelas bahawa pendudukan, penjajahan oleh peneroka serta keganasan tidak boleh dibiarkan berterusan, selain setiap nyawa manusia perlu dipertahankan tanpa mengira lokasi.
āBagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan menentukan haluan sendiri dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila ia benar-benar diperlukan.
āSebagai Negara Rakan BRICS, Malaysia bersedia menyumbang dengan semangat ini,ā katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








