BERITA SEMASA

Remaja 14 tahun ditahan baling batu pecahkan cermin tren Komuter Utara

ARAU – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai membaling batu ke arah tren Komuter Utara mengakibatkan cermin gerabak pecah dan seorang penumpang wanita cedera dalam kejadian berhampiran jejantas Jelompok, di sini, Khamis lalu.

Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau berjaya menahan suspek menerusi Op Cantas di sebuah rumah sekitar Arau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren KTM ketika melalui kawasan jejantas motosikal Kampung Jelompok kira-kira pukul 6 petang.

Menurutnya, ketika kejadian, suspek bersama empat rakannya sedang berkumpul di kawasan jejantas berkenaan sebelum dia bertindak membaling batu ke arah tren yang sedang bergerak.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja berkenaan mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah cermin tren KTM ketika melalui kawasan jejantas motosikal Kampung Jelompok kira-kira pukul 6 petang, Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, empat rakan suspek didapati tidak terbabit dalam perbuatan itu dan hanya menyaksikan kejadian berkenaan.

Polis turut merampas seketul batu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu serta sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y05 bersama kad SIM bagi membantu siasatan.

Ahmad Mohsin berkata, suspek yang masih bersekolah itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan di lokap Balai Polis Kangar untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Suspek dijangka dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button