Parcel Shield jadi perisai pengguna, industri kurier bersatu banteras penipuan
SHAHALAM – Industri pos, kurier dan e-dagang berganding bahu membanteras sindiket penipuan bungkusan menerusi pelancaran inisiatif Parcel Shield yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna.
Inisiatif diperkenalkan Postal Forum, badan kawal selia kendiri yang dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), itu turut menyasarkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan pos dan kurier.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha melindungi rakyat daripada penipuan bukan sekadar pilihan, sebaliknya tanggungjawab yang memerlukan kerjasama seluruh industri.
“Di sebalik setiap bungkusan, tersimpan kepercayaan rakyat, seorang ibu yang menantikan ubat untuk anaknya, seorang peniaga kecil yang bergantung kepada perkhidmatan penghantaran demi menyara keluarga.
“Sindiket penipuan sedang cuba merampas kepercayaan tersebut. Jika penipu bergerak secara berangkaian, kita juga mesti bersatu sebagai satu perisai,” katanya dalam ucapan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), hari ini.
Beliau turut menyeru semua syarikat kurier dan platform e-dagang di Malaysia menyertai Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) bagi memastikan jaringan perlindungan industri lebih menyeluruh.
PSWG merupakan antara teras utama inisiatif itu yang berfungsi sebagai platform perkongsian maklumat, penyaluran amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan bagi menangani ancaman penipuan.
Kumpulan kerja berkenaan kini dianggotai 14 organisasi termasuk ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, MTR Freight, Pos Malaysia, SF Global Express, Skynet Worldwide, SPX Express, Teleport, TikTok Shop, United Parcel Service (UPS) dan Mudah.my.
Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum, Nurhafizah Hanifah berkata, Parcel Shield membawa mesej bahawa industri kini bersatu dalam berkongsi maklumat risikan dan menutup ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket penipuan.
Menurutnya, pengguna juga tidak dibiarkan bersendirian kerana inisiatif itu akan memastikan maklumat berkaitan ancaman penipuan disalurkan secara berterusan.
“Setiap rakyat Malaysia seharusnya dapat menerima notifikasi penghantaran, membuat pembayaran atau membuka pintu kepada penghantar kurier tanpa rasa takut,” katanya.
Beliau berkata, selain kerjasama industri, Parcel Shield turut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran pengguna menerusi hebahan amaran penipuan berdasarkan maklumat yang dikumpulkan melalui PSWG.
“Hebahan melalui pelbagai saluran komunikasi itu akan mengetengahkan taktik penipuan terkini termasuk penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD), notifikasi penghantaran palsu, cubaan pancingan data serta penyamaran sebagai syarikat kurier yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengklik pautan dalam SMS, WhatsApp atau e-mel tidak diminta yang mendakwa dihantar syarikat kurier.
Beliau turut berkata, pengguna juga perlu menyemak status penghantaran melalui aplikasi, laman sesawang atau saluran khidmat pelanggan rasmi serta tidak menerima atau membuat pembayaran bagi bungkusan COD yang tidak pernah dipesan.
“Sekiranya terdapat keraguan, orang ramai disaran menghubungi syarikat kurier melalui saluran rasmi, manakala mangsa penipuan perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya lagi.
Postal Forum turut menggesa semua penyedia perkhidmatan pos, kurier dan platform e-dagang menyertai PSWG, selain menggalakkan masyarakat mengikuti serta berkongsi hebahan amaran Parcel Shield dengan keluarga dan rakan bagi memastikan lebih ramai pengguna dilindungi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








