Judi, pornografi dalam talian antara 10,423 laman sesawang disekat – MCMC
CYBERJAYA – Sejak dari 1 Januari 2022 sehingga 1 Ogos lalu sejumlah 10,423 laman sesawang telah disekat susulan pelanggaran undang-undang.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), daripada jumlah tersebut, 95.7 peratus laman sesawang yang disekat adalah dalam lima kategori utama iaitu perjudian dalam talian sebanyak 4,484; pornografi dalam talian (3,271); pelanggaran hak cipta dalam talian (1,654); scam/pelaburan haram dalam talian (316) dan pelacuran dalam talian (249)
“Dalam tempoh lima tahun, jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 6,571. Jumlah ini menunjukkan trend penurunan sehingga Ogos 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Langkah itu diambil susulan mandat yang diberikan untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia bagi melindungi rakyat khususnya golongan yang terdedah kepada
kemudaratan dalam talian.
“Sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna, sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi-agensi penguatkuasaan yang lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Suruhanjaya Sekuriti.
“Dalam konteks yang lebih besar, sekatan kepada laman-laman sesawang turut dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantungan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah, serta jenayah terancang yang lain,” katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi memastikan sekatan-sekatan ini kekal berkesan dan selari dengan
perkembangan teknologi, MCMC komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan dan perlindungan termasuklah dalam aspek pengurusan Domain Name System (DNS).
Ujarnya, kerjasama MCMC dan penyedia perkhidmatan dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
“Ini adalah selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah AKM 1998 termasuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.
“Usaha ini juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara (whole-of-nation) daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui (bypass) mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






