Malaysia konsisten pertahan dasar luar yang berkecuali, bebas
BATU KAWAN – Malaysia konsisten mempertahan pendirian berkecuali dan bebas dalam dasar luarnya menerusi pendekatan kerjasama strategik termasuk dengan kuasa besar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan sedemikian membolehkan Malaysia terus berinteraksi secara seimbang dengan negara-negara di Timur dan Barat, di samping mengekalkan kedaulatan dalam menentukan hala tuju negara.
“Kita telah melakukannya dengan Amerika Syarikat (AS)… Presiden Donald Trump telah datang ke Malaysia mengadakan lawatan penting tahun lepas kemudian kita mengadakan lawatan bersama China, India dan baru-baru ini dengan Russia.
“Itu mempamerkan kedudukan yang diambil Malaysia untuk memastikan kita melibatkan diri dengan semua negara dan mengekalkan kemerdekaan serta (pendirian) berkecuali kita, di samping menyatakan pendirian dalam beberapa isu lebih kontroversi yang menjejaskan dunia.
“Malaysia kekal sebagai negara yang strategik dan neutral dengan negara kuasa besar… dengan Iran, AS kita boleh lakukan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Inc (MKS), di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan Malaysia mengutamakan persahabatan dengan negara luar serta hubungan diplomatik seimbang membantu meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan.
Tambahnya, kehadiran syarikat teknologi dan pembuatan global untuk mengembangkan operasi di negara ini membuktikan tahap keyakinan tinggi terhadap ekosistem pelaburan Malaysia dengan kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara menawarkan kemudahan terbaik dan insentif kompetitif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















