[VIDEO] Yeye: MINDEF beri amaran, tidak akan kompromi budaya hedonisme keji
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang budaya hedonisme yang tidak berakhlak, keji dan bercanggah dengan nilai ketenteraan dalam kem-kem tentera, termasuk mengambil tindakan menyingkirkan individu terlibat daripada perkhidmatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penguatkuasaan peraturan dan disiplin perlu dilaksanakan secara tegas bagi menghentikan segala bentuk buli, penindasan serta budaya hedonisme yang tidak bermoral dan bercanggah dengan tradisi hidup Islam.
“Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup Islam.
“Kementerian dan ATM telah lama mengharamkan kegiatan tidak bersahsiah ini di semua kem dan peraturan yang jelas telah ditetapkan. Tiada sesiapa harus menerima perlecehan hak asasi dan tiada wanita harus dijadikan objek seks dan hiburan,” katanya.
@malaysiatribune Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa terbabit dengan aktiviti tidak bermoral sehingga tular di media sosial berkemungkinan berdepan hukuman maksimum dibuang kerja sekiranya didapati bersalah. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan berhubung perkara itu hampir selesai dan tindakan susulan akan diambil terhadap pegawai terbabit. #malaysiatribune
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di ibu negara, hari ini.
Baca juga : Bekas Panglima Tentera Darat mohon bersara awal 1 Januari – Khaled Nordin
Menurut beliau, mana-mana pihak yang terlibat dalam kemungkaran moral sehingga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikenakan tindakan tegas, termasuk disingkirkan daripada perkhidmatan, sebagaimana tindakan berat yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Mohamed Khaled menegaskan, kenyataan tersebut bukan sekadar amaran kosong dan terpakai kepada semua pihak yang cuba merosakkan imej Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta ATM.
“Amaran saya juga kepada mereka yang menghabiskan masa bermain golf di luar waktu yang dibenarkan, atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja. Disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan.
“Masa bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya. Justeru, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenar dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh.
“Kembalilah kepada perlakuan sebagai pahlawan yang budiman kerana masa bekerja juga bukan untuk kita bersosial di media sosial. Segala pandangan kita di media sosial mesti memaparkan etika kita sebagai anggota pertahanan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








