28 pelabur dapat perlindungan injunksi Mareva, aset syarikat dibekukan
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM11 juta pelaburan membabitkan 28 pelabur kini dilindungi susulan Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan injunksi Mareva bagi membekukan aset sebuah syarikat pelaburan dan pengarahnya.
Peguam yang mewakili pelabur, Muhammad Hisyam Md Yunus berkata, keputusan itu membolehkan aset syarikat dan pengarah berkenaan dibekukan sementara prosiding utama kes diteruskan.
Beliau berkata, mahkamah turut tidak membenarkan cubaan pihak defendan untuk mengetepikan permohonan injunksi berkenaan.
“Alhamdulillah keputusan memihak kepada plaintif-plaintif.
“Pihak defendan cuba untuk membatalkan permohonan ini, termasuk pengarah, dengan hanya menyalahkan syarikat. Tetapi mahkamah memutuskan pengarah juga bertanggungjawab bersama dan tertakluk kepada injunksi Mareva.
“Secara tidak langsung, kes ini memihak kepada pelabur dan mereka berpeluang memastikan aset pengarah serta syarikat tidak boleh dilarikan,” katanya selepas prosiding, di sini hari ini.
Injunksi Mareva merupakan langkah perlindungan sementara bagi menghalang aset pihak yang dinamakan daripada dilupuskan atau dialihkan sehingga prosiding utama diselesaikan.
Muhammad Hisyam berkata, pihaknya memfailkan tindakan berkenaan bagi mendapatkan semula hak dan wang 28 pelabur yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM11 juta.
“Kita ambil tindakan untuk membekukan, mencari dan juga mendapatkan semula hak dan duit pelabur semua,” katanya.
Beliau berkata, kes itu belum memasuki perbicaraan penuh dan pihaknya kini menunggu keputusan mahkamah berkaitan permohonan penzahiran dokumen yang dijangka diputuskan bulan depan.
Katanya, perbicaraan penuh kes itu dijangka berlangsung pada hujung tahun ini atau awal tahun depan, bergantung kepada perkembangan seterusnya termasuk kemungkinan pihak defendan mengemukakan rayuan.
Terdahulu, syarikat berkenaan didakwa menawarkan peluang pelaburan kepada orang awam, namun berlaku masalah apabila bayaran kepada pelabur tidak diteruskan seperti dijanjikan.
Muhammad Hisyam berkata, kumpulan pelabur yang terlibat dalam kes berkenaan adalah sebahagian daripada kira-kira 208 pelabur dengan jumlah keseluruhan pelaburan dianggarkan antara RM200 juta hingga hampir RM300 juta.
Beliau berkata, tindakan sivil yang difailkan pihaknya bagaimanapun membabitkan 28 pelabur dengan jumlah tuntutan kira-kira RM11 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







