Warga emas rugi lebih RM700,000 ditipu sindiket pelaburan palsu
KLUANG – Akibat terpesona dengan janji mendapat pulangan lumayan, seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM700,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa diminta mendaftar akaun pelaburan melalui laman sesawang yang diberikan oleh individu terbabit.
Mangsa berusia 73 tahun yang juga bekas pemandu bas di Singapura, sebelum itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali kononnya bertindak sebagai ejen pelaburan dengan menawarkan keuntungan tinggi.
Beliau berkata, antara tempoh 8 September hingga 6 November lalu, mangsa membuat pembayaran ke dalam lima akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM736,526.
“Mangsa kemudian mendapati terdapat keuntungan dalam akaun pelaburannya berjumlah RM5.7 juta. Bagaimanapun mangsa diminta membuat pembayaran jika mahu mengeluarkan wang terbabit namun lelaki itu enggan menurut arahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak mendapat sebarang wang seperti dijanjikan.
“Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kelmarin untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 (hotline) atau 07-7784256 dan 014-365682,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















