BERITA SEMASA

JKPTG selesai lebih 30,000 permohonan pusaka, usaha kurangkan harta beku diperkasa

PETALING JAYA – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) berjaya menyelesaikan sebanyak 30,282 permohonan pusaka semasa sehingga pertengahan tahun ini, selain mengurangkan tunggakan kes sebagai sebahagian usaha mempercepatkan urusan pembahagian harta kepada waris yang berhak.

Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 18,632 kes tunggakan berjaya diselesaikan iaitu 57 peratus daripada sasaran keseluruhan 32,695 kes bagi tahun 2026.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan JKPTG dalam memastikan urusan pembahagian pusaka dapat diselesaikan dengan lebih cekap sekali gus mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan hak pemilikan waris.

“Pada masa sama, JKPTG terus memperluaskan Program Kesedaran Awam (Turun Padang) menerusi rangkaian Pejabat Pembahagian Pusaka di seluruh negara.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 27 program berjaya dilaksanakan melibatkan sesi taklimat, hari bersama waris, hari bertemu pelanggan dan wacana ilmu dengan sasaran keseluruhan 36 program menjelang Disember ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pendekatan turun padang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan secara langsung mengenai prosedur pengurusan pusaka, sekali gus membantu mengurangkan isu harta beku yang memberi kesan kepada waris serta pembangunan ekonomi negara.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi berkata, sambutan Hari Tanah Negara yang memasuki tahun ke-10 penganjurannya tahun ini mengangkat tema ‘Tanah Kita, Tanggungjawab Kita’ sebagai manifestasi komitmen kerajaan memperkukuh sistem pentadbiran tanah yang cekap, telus dan berintegriti.

Katanya, pelbagai program akan diadakan sempena sambutan itu termasuk pameran perkhidmatan, kaunter bergerak, sesi konsultasi, ceramah dan forum bagi mendekatkan masyarakat dengan institusi pentadbiran tanah serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan tanah secara mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button