BERITA SEMASA

Tak pernah bercita-cita jadi polis, Ayob Khan masuk PDRM tanpa ‘kabel’

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan beliau tidak pernah memasang impian untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya bercita-cita membina kerjaya sebagai pegawai bank selepas menamatkan pengajian di universiti.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) itu berkata, sebaik menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1990, beliau bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum seorang rakan mengajaknya menghadiri temu duga pengambilan pegawai polis.

“Saya tak ada niat pun nak masuk polis dan tak minat masuk polis. Fokus saya adalah untuk jadi pegawai bank.

“Habis temu duga, mereka beritahu saya calon simpanan, tetapi kira-kira tiga bulan kemudian saya dipanggil. Saya masuk PDRM tak pakai kabel, tetapi itulah rezeki saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, beliau kemudiannya menjalani latihan sebagai kadet polis pada 1991 sebelum memulakan kerjaya dalam Cawangan Khas (SB), yang menjadi titik permulaan kepada perjalanan kerjayanya dalam pasukan.

Katanya, pengalaman berkhidmat di SB membuka ruang untuk beliau menggalas pelbagai tanggungjawab penting, termasuk sebagai Ketua Polis Johor sebelum dipanggil bertugas di Bukit Aman.

Beliau berkata, perjalanan kerjaya itu mengajarnya bahawa rezeki dan kejayaan bukan ditentukan oleh manusia, sebaliknya merupakan ketentuan Allah SWT.

“Sebab itu dalam Islam, kita kena yakin rezeki kita bukan ditentukan oleh manusia.

“Manusia boleh merancang, tetapi kesudahannya Allah yang menentukan. Jangan takut rezeki kita,” katanya.

Ayob Khan berkata, keyakinan terhadap ketentuan rezeki itulah yang akhirnya membawanya menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, satu amanah yang tidak pernah dibayangkannya sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan.

Terdahulu, Ayob Khan yang menamatkan perkhidmatan wajib hari ini menyerahkan tugas Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button