BERITA SEMASA

PRS capai nilai aset RM10.9 bilion, bukti kesedaran persaraan makin meningkat

KUALA LUMPUR – Kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan merancang persaraan terus meningkat apabila semakin ramai menyedari bahawa tempoh selepas kerjaya memerlukan persediaan rapi, bukan sahaja dari segi kewangan malah kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup.

Perubahan positif itu turut diterjemahkan menerusi pertumbuhan memberangsangkan Skim Persaraan Swasta (PRS) apabila aset di bawah pengurusannya mencatat rekod tertinggi RM10.9 bilion sempena penganjuran Hari PRS 2026 baru-baru ini.

Pengerusi Private Pension Administrator (PPA), Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid berkata, aset PRS meningkat RM2.1 bilion sejak awal tahun lalu, termasuk RM379 juta hasil caruman ahli, manakala jumlah keahlian kini melepasi 690,000 orang dengan hampir 19,000 ahli baharu menyertai skim itu tahun ini.

Menurut beliau, perkembangan tersebut membuktikan semakin ramai rakyat mula membuat persediaan persaraan sejak usia muda.

“Pencapaian aset PRS yang kini mencecah RM10.9 bilion membuktikan semakin ramai rakyat Malaysia memahami kepentingan membina simpanan persaraan sejak awal.

“Persaraan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada simpanan kewangan, sebaliknya turut melibatkan aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, hubungan sosial dan literasi kewangan,” katanya.

Hari PRS 2026 yang berlangsung pada 11 dan 12 Julai lalu di MyTOWN Shopping Centre menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk khidmat nasihat kewangan, pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel literasi kewangan dan program kecergasan.

Pada majlis sama, PPA turut memperkenalkan Portal Ahli PRS yang dipertingkatkan serta Kalkulator Perancangan Persaraan PRS yang dinaik taraf bagi membantu ahli mengurus simpanan, merancang pendapatan persaraan dan menilai profil risiko dengan lebih mudah.

“Melalui penambahbaikan portal ahli dan kalkulator perancangan persaraan, kami mahu memudahkan ahli mengurus simpanan mereka secara lebih cekap serta membuat keputusan kewangan yang lebih tepat sepanjang perjalanan menuju persaraan,” katanya.

Pengerusi PPA, Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid ( tengah ) ketika merasmikan Hari PRS 2026 di MyTown, Cheras bersama Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar (kanan).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, kejayaan penganjuran Hari PRS 2026 menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar untuk memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan simpanan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hari PRS 2026 disertai tujuh penyedia PRS iaitu AHAM Asset Management Berhad, Principal Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, RHB Asset Management Sdn. Bhd., AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd., Public Mutual Berhad dan Manulife Investment Management (Malaysia) Berhad, bersama pengedar PRS iFAST Capital Sdn. Bhd., selain mendapat sokongan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, penaja serta pelbagai rakan strategik.

Maklumat lanjut mengenai PRS boleh didapati di www.ppa.my

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button