Rasuah lebuhraya, SPRM sita aset Tan Sri berjumlah RM86 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dan membekukan aset serta akaun bank dianggarkan berjumlah RM86 juta milik seorang pemegang konsesi lebuhraya bergelar Tan Sri.
Menurut sumber SPRM, antara aset yang disita termasuk kenderaan mewah, beg tangan berjenama, barangan kemas, jam tangan mewah serta hartanah.
Selain itu, 14 akaun bank individu dan lapan akaun syarikat turut dibekukan hasil serbuan SPRM di kediaman milik individu terbabit di ibu negara baru-baru ini.
“Siasatan awal mendapati modus operandi penyelewengan dilakukan dengan menyalurkan dana tersebut kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri berkenaan melalui beberapa siri transaksi berjumlah ratusan juta ringgit.
“Dana itu kemudiannya diagihkan kepada pelbagai syarikat dan individu termasuk akaun milik Tan Sri yang merupakan dalang utama kegiatan ini,” kata sumber berkenaan.
Sumber berkata, wang berkenaan turut dipindahkan ke entiti lain termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit sebelum digunakan untuk pembelian aset mewah dan aktiviti perjudian.
“Sebahagian dana juga digunakan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan melalui transaksi kewangan berlapis yang bertujuan mengaburi sumber asal dana,” jelasnya.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan seramai 45 individu dan dijangka akan memanggil antara 30 hingga 50 orang lagi sebagai saksi bagi membantu siasatan.
“Tan Sri dan isterinya turut dijadualkan hadir untuk memberi keterangan semalam namun tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.
“SPRM turut akan memanggil anak-anak pasangan itu serta beberapa individu lain yang dipercayai terlibat,” katanya.
Dalam operasi terbaru yang dijalankan, SPRM turut menemui sebuah setor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.
Ia terut dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








