BERITA SEMASA

KPT teliti akta ganti AUKU, tubuh jawatankuasa bebas

KUALA LUMPUR – Penggubalan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan keperluan keseluruhan sektor pendidikan tinggi terus diberi perhatian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti penggubalan akta berkenaan susulan keputusan kerajaan memansuhkan AUKU.

Beliau berkata, penelitian itu tidak hanya memberi tumpuan kepada satu kelompok, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek berkaitan pengurusan dan operasi institusi pendidikan tinggi.

“Ini bukan soal semata-mata pada satu kelompok sahaja, seperti yang kita sedia maklum yang saya sebut tadi AUKU ini ada 44 seksyen di dalamnya.

“Ada soal-soal penubuhan universiti, soal tadbir urus universiti, soal akademik, soal mahasiswa dan hal-hal lain yang berkaitan di dalamnya,” katanya selepas meluncurkan Majlis Perasmian Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi 2026 dan Pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2026-2030, di sini, hari ini.

Zambry berkata, proses penggubalan itu turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, selain pembentukan kumpulan bagi membangunkan draf rang undang-undang baharu serta penyediaan mekanisme peralihan.

Katanya, mekanisme berkenaan penting bagi memastikan operasi institusi pendidikan tinggi tidak terjejas sepanjang tempoh peralihan sebelum akta baharu dikuatkuasakan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan akta baharu dikenali sebagai Akta Satu Pendidikan Tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button