BERITA SEMASAPOLITIK

DAPSY desak AUKU dimansuhkan, dakwa sekat autonomi universiti

KUALA LUMPUR – DAPSY mendesak kerajaan agar segera memulakan langkah konkrit memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan alasan akta berkenaan menjadi penghalang utama kepada autonomi universiti dan kebebasan akademik di negara ini.

Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian berkata, pendirian itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, semalam yang menyatakan sokongan untuk mengekalkan AUKU.

Menurutnya, kenyataan Rafizi itu bercanggah dengan prinsip reformasi institusi yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) selama ini.

“Menyokong autonomi universiti tetapi dalam masa sama mahu mengekalkan AUKU adalah pendirian yang tidak konsisten. AUKU memberikan ruang kepada campur tangan politik dalam pelantikan naib canselor dan ahli Lembaga Pengarah Universiti.

“Kami ingin tegaskan bahawa pemansuhan AUKU tidak bermakna universiti akan hilang dana.

“Sebaliknya, kerajaan boleh menggubal satu akta baharu yang lebih progresif untuk memastikan pembiayaan universiti kekal, sambil memberi kebebasan sebenar kepada institusi pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, cadangan Rafizi untuk menyalurkan dana terus kepada pelajar dan memberikan universiti ‘autonomi penuh’ juga tidak seiring dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri melalui AUKU.

DAPSY turut menyifatkan AUKU sebagai punca kepada budaya pentadbiran universiti yang tertutup, menyekat suara mahasiswa serta perkembangan pemikiran kritikal di kampus.

“Masalah ketidakmampuan sistem pendidikan melahirkan graduan yang mampu menyokong ekonomi berkompleksiti tinggi juga berkait rapat dengan kewujudan AUKU itu sendiri,” katanya lagi.

Ling Xian berkata, PH sejak sekian lama memperjuangkan pemansuhan AUKU dan komitmen tersebut turut dimasukkan dalam lima tawaran Angkatan Muda Harapan (AMH) pada tahun 2022.

Datuk Seri Rafizi Ramli

Sehubungan itu, DAPSY menggesa Kerajaan MADANI menubuhkan semula Jawatankuasa Khas Pemansuhan AUKU dan membentuk pasukan teknikal inklusif yang terdiri daripada mahasiswa, pensyarah, pakar akademik serta wakil masyarakat sivil untuk merangka satu Akta Pendidikan Tinggi yang baharu.

“Akta itu perlu merangkumi mekanisme dana, jaminan autonomi institusi, kebebasan akademik dan hak mahasiswa. Ini penting untuk universiti kita bersaing di peringkat global,” katanya lagi.

DAPSY turut menyeru kerajaan agar menunjukkan komitmen yang jelas terhadap reformasi pendidikan tinggi dan tidak lagi membiarkan sistem yang melemahkan keyakinan generasi mahasiswa terhadap agenda reformasi.

“Kami akan terus berdiri bersama mahasiswa dan pihak yang memperjuangkan kampus yang lebih bebas, terbuka dan demokratik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button