Ketua DAPSY Pulai letak jawatan, umum keluar DAP
JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulai, Sor Wat Kit, mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandangnya dalam DAP selain mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu selepas sembilan tahun bergiat aktif.
Bekas Pengarah Biro Hal Ehwal Mahasiswa DAPSY Johor dan Setiausaha DAP Cawangan Taman Sutera itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau tidak lagi dapat bersetuju dengan beberapa pendekatan serta keputusan yang diambil oleh kepimpinan pusat dan sayap DAPSY Johor.
Menurutnya, realiti politik semasa menunjukkan ruang untuk membawa perubahan secara bermakna dalam struktur sedia ada adalah amat terhad, sekali gus mendorong beliau menilai semula penglibatan politiknya.
“Saya memahami bahawa politik sering ditentukan oleh kekuatan dan penguasaan.
“Oleh itu, keputusan untuk keluar daripada parti ini bukan semata-mata berpunca daripada kekecewaan terhadap individu atau kepimpinan tertentu,” memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dalam surat peletakan jawatan yang dikemukakan kepada Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong, bertarikh 28 Disember lalu.
Wat Kit berkata, keputusan itu lebih didorong oleh keinginannya untuk memperluaskan pengalaman serta pendedahan politik selagi usia masih muda dengan meneroka platform berbeza.
“Saya mahu merasai sendiri makna sebenar politik negara dan memahami konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia melalui interaksi yang lebih luas bersama pelbagai kaum serta parti politik,” katanya lagi.
Menurut beliau, pengalaman sedemikian penting dalam membentuk kematangan politik, selain memperkukuh kefahaman terhadap realiti sebenar landskap politik tanah air.
Walaupun mengambil keputusan meninggalkan DAP, Wat Kit menegaskan nilai serta kekuatan positif parti itu seperti ketegasan dalam soal kebertanggungjawaban awam, keberanian menentang ketidakadilan dan komitmen terhadap reformasi institusi akan terus dibawa dan diamalkan di mana-mana platform politik yang disertainya pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan rakan seperjuangan yang banyak memberi bimbingan sepanjang penglibatan dalam parti.
“Sumbangan DAP dalam membentuk pemahaman saya terhadap ideologi politik, disiplin organisasi, wacana awam dan semangat semak dan imbang tidak dapat dinafikan.
“Atas segala peluang dan bimbingan tersebut, saya sentiasa berasa amat berterima kasih,” katanya lagi.
Terdahulu, awal bulan ini, empat pemimpin DAPSY Johor termasuk ketuanya, Loh Wei Jian, turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berikutan peningkatan komitmen dalam urusan organisasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







