Wanita mengaku salah anjur kumpulan wang kutu babit 52 peserta
ALOR SETAR – Seorang peniaga makanan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan 52 peserta dengan nilai kerugian melebihi RM1 juta.
Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 September ini untuk fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, lapor Kosmo! Online.
Mengikut pertuduhan, Siti Zulaika yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang mewajibkan setiap peserta membayar sejumlah wang kepada kumpulan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Julai 2025 hingga bulan lalu dan membabitkan 52 peserta berusia antara 24 hingga 62 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut yang dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28).
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BACA JUGA:
Wanita didakwa kes hutang kutu, suami jadi saksi
Pasangan hilang bersama anak direman, disyaki tipu wang kutu
Hutang main kutu mungkin punca 3 beranak hilang
Dalam prosiding itu, Muhammad Fahmi memohon mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 dengan mengambil kira nilai kerugian yang tinggi iaitu melebihi RM1 juta.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu, mendekati atau menghubungi mangsa selain menyerahkan pasport atau pas sempadan kepada mahkamah.
Ketika ditanya Hakim Sharmila sama ada mempunyai apa-apa perkara untuk dinyatakan berhubung permohonan jaminan itu, tertuduh hanya menjawab tiada.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 22 September ini untuk fakta kes serta hukuman.
Dalam perkembangan berkaitan, suami tertuduh berusia 39 tahun direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di daerah Kota Setar.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali.
Sebelum ini, media melaporkan tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam, dekat sini, hilang sejak 20 Julai lalu sebelum polis tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu.
Pasangan suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu kemudian tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Jitra pada 6 Ogos lalu sebelum direman.
Sebanyak 35 laporan polis dibuat mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun terhadap wanita terbabit berhubung dakwaan penipuan wang permainan kutu yang membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM1.7 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








