BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita ada rekod dadah, psikiatri ditahan ceroboh pentas Sambutan Hari Kebangsaan di Perak

IPOH – Seorang wanita berusia 41 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta rawatan psikiatri ditahan polis selepas menceroboh pentas utama sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Perak, pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek dikesan menaiki pentas dari bahagian tepi kira-kira pukul 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri sedang dimainkan, sebelum cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota keselamatan berjaya menghalang daripada kejadian tidak diingin berlaku.

“Suspek ditahan serta-merta tanpa sempat menimbulkan sebarang insiden lebih serius.

“Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau kes dadah serta rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Noor Hisam, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar menghormati acara rasmi kenegaraan dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman serta membahayakan keselamatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button