DAP iktiraf wanita, 45 ketua kampung dan 61 ahli majlis wanita dilantik
KUALA LUMPUR – Seramai 61 Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan 45 Ketua Kampung Wanita DAP diraikan dalam program ‘Malam Bersama Media’ sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam kepimpinan tempatan.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, majlis itu bukan sekadar untuk menghargai sumbangan pihak media, tetapi juga bagi memperkenalkan pemimpin wanita yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran peringkat akar umbi.

“Ini adalah bukti komitmen DAP dalam memperjuangkan kesaksamaan gender. Wanita juga layak berada dalam barisan kepimpinan, sama ada di peringkat nasional atau tempatan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, hubungan erat antara media dan pemimpin tempatan amat penting bagi memastikan dasar serta perjuangan parti dapat diketengahkan dengan lebih jelas kepada masyarakat.

“Kita mahu media lebih mengenali pemimpin wanita yang berkhidmat di peringkat akar umbi, selain memberikan mereka ruang untuk menyuarakan isu-isu setempat,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, DAP komited dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam politik, termasuk di peringkat Parlimen.

“Setakat ini, kita mempunyai beberapa Ahli Parlimen wanita DAP yang berperanan aktif dalam membangkitkan isu rakyat di Dewan Rakyat, antaranya Yeo Bee Yin (Puchong), Wong Shu Qi (Kluang), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Lim Hui Ying (Tanjong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera) dan Young Syefura Othman (Bentong).
“Ini adalah satu pencapaian, namun kita mahu melihat lebih ramai wanita tampil ke hadapan sebagai pemimpin demi memastikan suara wanita lebih didengari,” katanya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita DAP, yang bersama-sama berkongsi pandangan dalam suasana santai bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin parti dan pengamal media.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















