BERITA SEMASA

AI jangan jejas periuk nasi penggiat seni – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemajuan kecerdasan buatan (AI) tidak menjejaskan mata pencarian penggiat seni dan kelangsungan syarikat penerbitan dalam industri perfileman negara.

Menurut beliau, perkembangan teknologi itu memerlukan satu kerangka perlindungan yang jelas bagi memastikan hak, kreativiti dan masa depan karyawan seni terus terpelihara.

“Saya turut tertarik dengan pandangan mereka berhubung ancaman kecerdasan buatan terhadap mata pencarian karyawan serta kelangsungan syarikat penerbitan.

“Perkembangan ini menuntut suatu kerangka perlindungan yang jelas agar kemajuan teknologi tidak menghakis hak, kreativiti dan masa depan penggiat seni tanah air,” katanya dalam satu hantaran di laman X selepas merasmikan Menara FINAS dan bertemu beberapa wakil Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).

Beliau berkata, wakil GAFEMA yang membawa suara 13 persatuan di bawah naungannya turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan masa depan industri perfileman negara.

“Antaranya termasuk isu hak milik intelek bagi karya yang dihasilkan menggunakan dana awam, penyediaan rumah mampu milik untuk penggiat seni serta peruntukan bagi pembangunan industri perfileman dan latihan,” katanya lagi.

Anwar berkata, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi bagi memperkukuh dukungan terhadap industri perfileman negara.

Menurutnya, industri berkenaan merupakan antara wadah penting dalam menghidupkan seni, budaya dan sastera selain membentuk jiwa, pemikiran serta jati diri bangsa.

“Tanpa kekuatan seni, budaya dan sastera, kita mungkin melahirkan anak-anak tanpa jiwa, yang terputus daripada akar budaya sendiri dan hanya berbangga dengan identiti yang dipinjam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button