BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM syor dakwa dua individu dalam siasatan pelaburan semikonduktor RM1.1 bilion

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan dua individu didakwa berhubung siasatan urus niaga pelaburan industri semikonduktor bernilai RM1.1 bilion membabitkan Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan pertuduhan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan siasatan terperinci termasuk merakam percakapan beberapa individu penting berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti dua individu terbabit kerana perkara itu masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Setakat ini, kami telah merakam keterangan daripada 22 saksi termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta bekas pegawainya, James Chai.

“Hanya tinggal dua lagi saksi yang belum dirakam keterangan, seorang berada di Taiwan dan seorang lagi di dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Azam, pegawai penyiasat mendapati terdapat elemen jenayah dalam kes berkenaan, namun keputusan akhir sama ada pertuduhan akan dibuat bergantung kepada AGC.

“Saya tidak boleh dedahkan siapa individu berkenaan, tetapi SPRM telah mencadangkan supaya pertuduhan dikenakan,” katanya.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan hadir memberi keterangan kepada SPRM selama tiga hari berturut-turut bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sebelum ini, beliau turut dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan urus niaga terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button