Bekas Datuk Bandar Johor Bahru didakwa terima rasuah RM1.5 juta
JOHOR BAHRU – Bekas Datuk Bandar Johor Bahru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM1.55 juta semasa dalam perkhidmatan.
Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh antara tahun 2020 hingga 2021 bagi kesalahan menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu melalui pengantara.
Tertuduh, Datuk Adib Azhari Daud, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Rasuah tersebut adalah sebagai imbuhan meluluskan pelbagai projek kontraktor, membabitkan kerja penyenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir, kerja ganti paip, penyelenggaraan pembentungan dan kerja pencegahan tebing runtuh.
Selain itu, ia juga membabitkan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta menebang pokok di dalam kawasan MBJB.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM120,000 dengan dua orang penjamin, lapor Sinar Harian.
Terdahulu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan penahanan seorang datuk bandar bagi membantu siasatan kes rasuah dianggar bernilai lebih RM1 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







