Nahas pelajar UPSI: Pasukan khas teknikal ditubuhkan
GERIK – Satu pasukan khas teknikal akan ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasukan itu akan dianggotai pelbagai agensi yang akan melihat aspek yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Beliau memberitahu, antara agensi yang terlibat dalam pasukan teknikal khas itu ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Puspakom, Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri serta Polis Gerakan Udara (PGU).
BERITA BERKAITAN
Berbelas penuntut UPSI maut dalam kemalangan bas dekat Tasik Banding
Nahas UPSI: Bas dipercayai langgar belakang MPV – Polis Perak
Ketupat, rendang dan keropok lekor antara barang ditemui di dalam bas nahas di Gerik
Nahas UPSI: Sebahagian mangsa masih kritikal, dirawat di hospital
Bas dipandu laju, berbahaya sebelum terbalik – Mangsa nahas
Syarikat pengendali bas nafi guna pemandu lori sebagai pemandu gantian
Jelas beliau, penglibatan pelbagai agensi itu penting bagi memastikan semua aspek siasatan meliputi keadaan bas, pemandu, penyelenggaraan dan faktor lain dapat diteliti secara terperinci.
Sementara itu, mengenai siasatan ke atas pemandu bas terbabit, Mohd Yusri berkata, pihaknya akan melihat kepada semua sudut termasuk latar belakang pemandu serta sejarah dan keadaan teknikal bas tersebut.
“Sekarang ini berdasarkan permulaan awal siasatan, kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut daripada rekod dia, latar belakang dia apa kegiatan dia sebelum ini ataupun apa kerjaya dia sebelum ini kita akan siasat.
“Jadi di sini saya hanya boleh memberi maklumat bahawa kita akan melengkapkan kertas siasatan dan kita akan menyiasat dari pelbagai sudut untuk kita melengkapkan dan juga mempercepatkan pertuduhan ini ke mahkamah dengan lancar dan sempurna,” tambahnya.
Beliau kemudiannya menyeru orang ramai yang mempunyai bukti atau sebarang maklumat diminta tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Mohd Yusri turut menasihati para pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dalam pemanduan, terutamanya ketika pulang ke destinasi masing-masing selepas musim perayaan, memandangkan hari ini merupakan hari terakhir Op Lancar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








