Isu pemain warisan: SPRM akan dapatkan penjelasan FIFA
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan pegawainya bertemu atau menghubungi wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat demikian diperlukan bagi menentukan sama ada siasatan boleh dimulakan di bawah bidang kuasa SPRM atau sebaliknya, lapor BH Online, hari ini.
“Saya akan menghantar pegawai secepat mungkin yang diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, untuk berjumpa atau berkomunikasi dengan pihak FIFA.
“Ia bagi SPRM mengetahui apa isu sebenarnya. Sekiranya mendapati ada berlaku kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa kami, SPRM akan menjalankan siasatan,’ katanya.
Azam Baki berkata, beliau hanya mengetahui mengenai isu berkenaan menerusi laporan media malam tadi dan setelah mengambil kira kepentingan awam, SPRM boleh mengambil tindakan walaupun tiada laporan dibuat.
“Bila menjadi public domain, kita di SPRM tidak (perlu) menunggu sebarang aduan rasmi dibuat, sebaliknya kita boleh mengambil tindakan kerana masyarakat sudah mengetahui perkara ini,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, FIFA mengambil tindakan terhadap FAM bersama tujuh pemain warisan kebangsaan, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA mendakwa FAM menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






