JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian kadet PALAPES UTM: Polis akan lengkapkan kertas siasatan susulan laporan bedah siasat kedua

KUALA LUMPUR – Polis akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, yang kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Buletin TV3 yang memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, kertas siasatan itu kemudian akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan syor selanjutnya, lapor Buletin TV3.

“Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah tadi, dan Timbalan Ketua Polis juga telah memberi taklimat, yang mana saya boleh sebut bahawa pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan mereka dalam masa terdekat bersama syor kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Tentang hal tuju siasatan, apakah ada perbezaan dengan hasil siasatan awal? Jawapannya ada, bermaksud ada atau tidak perbezaan dengan laporan perubatan awal yang menjadi asas kepada punca kematian dengan penemuan baru siasatan oleh polis.

“Ada perbezaan itu, biar pihak polis selesaikan dengan menyerahkan kertas siasatan lengkap itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris mendapati punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan pada leher.

Perkara itu didedahkan peguam mewakili keluarganya, Datuk Naran Singh, selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut peguam keluarga, Datuk Naran Singh, laporan bedah siasat tersebut turut mendedahkan terdapat beberapa kecederaan lain, seperti melecet, yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham.

Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button