Sam Ke Ting dilepas dan dibebas tuduhan akibatkan kematian 8 remaja basikal lajak
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Keputusan tersebut dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.
Hakim sebulat suara bersetuju mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting pada Pada 13 April tahun lalu.
Selain itu, Hakim, Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang memutuskan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin,16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








