BERITA SEMASA

Keluarga rayu rakaman dashcam bantu siasatan pelajar KV Rembau maut kemalangan

REMBAU – Keluarga pelajar Kolej Vokasional Rembau yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32.1 Jalan Seremban-Tampin berhampiran pekan Chengkau, Jumaat lalu merayu orang ramai tampil menyalurkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Siti Qhadijah Abdullah, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah kereta dipercayai membuat pusingan-U.

Bapa saudara mangsa, Zainul Ariff Zainal Abidin berkata, rakaman video tersebut diperlukan untuk membantu keluarga mereka memberi bukti penuh kepada pihak polis dan mahkamah.

“Saya memohon dan menyeru pada sesiapa yang mempunyai recording dashcam berkenaan kemalangan di Chengkau berhadapan kedai Kak Teh pukul 4 petang lebih kurang, boleh berikan kerjasama kepada keluarga saya.

“Kemalangan melibatkan kereta Camry hitam membuat pusingan-U. Anak saudara kami meninggal di tempat kejadian.

“Saya memohon untuk bantu kami memberi bukti penuh kepada pihak polis dan mahkamah,” tulisnya melalui perkongsian di group Facebook Rembau Macam-Macam Ado.

BACA JUGA:

Pelajar Kolej Vokasional Rembau maut rempuh kereta buat pusingan-U

Arwah Siti Qhadijah selalu cakap nak meninggal hari Jumaat – Ibu mangsa

Allahyarham Siti Qhadijah merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki warga emas berusia 81 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 76 tahun itu baru keluar dari sebuah kedai kuih dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Ketika pemandu kereta membuat pusingan-U, motosikal yang dinaiki mangsa bersama rakannya dari arah Rembau menuju ke Kota telah melanggar bahagian kanan kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, pembonceng mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button