BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Arwah Siti Qhadijah selalu cakap nak meninggal hari Jumaat – Ibu mangsa

REMBAU – “Arwah selalu cakap dia nak meninggal pada hari Jumaat. Tak sangka, hari ini (semalam) Allah makbulkan hajatnya.”

Demikian luahan ibu kepada pelajar Kolej Vokasional Rembau, Siti Qhadijah Abdullah, 18, yang maut selepas motosikal dinaiki bersama rakannya merempuh sebuah kereta dipercayai membuat pusingan-U di Kilometer 32.1 Jalan Seremban-Tampin berhampiran pekan Chengkau, petang semalam.

Ibunya, Zuratiqah Zainal Abidin berkata, sebelum kejadian, anak sulung daripada lima beradik itu menunjukkan perubahan sikap apabila melakukan beberapa perkara yang jarang dilakukannya seperti melipat baju dan memasak untuk keluarga.

keluarga
Gambar kenangan arwah Siti Qhadijah (belakang, kanan) bersama keluarganya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Dia buat sesuatu yang dia tak suka buat. Macam lipat baju dan memasak. Selalunya dia jarang buat begitu.

“Semalam (kelmarin) dia paksa ayah tirinya makan ayam masak sambal cili api yang dimasak sendiri. Pagi tadi (semalam) pula dia masak maggi goreng untuk keluarga,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Rembau malam tadi.

Menurut Zuratiqah, ketika kejadian dia berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk menjaga kakak angkatnya sebelum menerima berita menyayat hati itu.

Katanya, arwah juga sering menyebut hasrat untuk meninggal dunia pada hari Jumaat, seolah-olah sudah memberi petanda awal.

“Arwah ayahnya meninggal dunia pada hari raya kedua, empat tahun lalu. Sejak itu, bila tengok orang meninggal, dia selalu cakap dia pun mahu pergi pada hari Jumaat,” katanya sebak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Allahyarham Siti Qhadijah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang rakannya melanggar sebuah Toyota Camry.

BACA JUGA:

Pelajar Kolej Vokasional Rembau maut motosikal rempuh kereta buat pusingan-U

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 76 tahun itu baru keluar dari sebuah kedai kuih di pekan berkenaan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurutnya, ketika pemandu kereta membuat pusingan-U, motosikal dinaiki mangsa bersama rakannya, Amar Amirullah Lahadi, 21, dari arah Rembau menuju ke Kota telah merempuh bahagian kanan kenderaan itu.

“Akibat pelanggaran itu, pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di muka, manakala pemandu kereta warga emas dan isterinya mengalami luka ringan di muka, kepala dan badan. Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Rembau,” katanya.

kebumi
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lekuk, Kota kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lekuk, Kota sekitar pukul 1 pagi tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button