BERITA SEMASA

Tragedi pelajar maut dirempuh dalam kawasan sekolah perlu jadi iktibar, elak kecuaian – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan semalam perlu dijadikan iktibar.

Perdana Menteri menyuarakan perkara itu menerusi hantaran X, susulan Nur Fatimatul Hawa yang juga pelajar tingkatan satu maut manakala seorang lagi pelajar cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta di hadapan surau tersebut.

“Tragedi ini harus menjadi iktibar dan peringatan kepada semua agar sentiasa berhati-hati serta tidak cuai dalam setiap tindakan yang dilakukan.

“Doa dan ingatan juga buat mangsa yang cedera supaya diberikan kesembuhan segera,” menurut hantaran itu.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mendoakan agar mangsa yang cedera dalam kejadian itu diberikan kesembuhan segera.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kejadian itu, selain siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira 2.15 petang, dengan kemalangan dipercayai berlaku lebih awal sekitar 1.50 tengah hari.

Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu seorang wanita itu dipercayai mengalami kesilapan kawalan sehingga merempuh dua pelajar yang berada di hadapan surau serta melanggar struktur di kawasan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button