JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Kolej Vokasional Rembau maut rempuh kereta buat pusingan-U

REMBAU – Seorang pelajar perempuan Kolej Vokasional Rembau maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya merempuh sebuah kereta yang dipercayai membuat pusingan-U di Kilometer 32.1 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Pekan Chengkau, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Siti Qhadijah Abdullah, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang rakannya melanggar sebuah Toyota Camry.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 76 tahun itu baru keluar dari sebuah kedai kuih di pekan berkenaan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

ocpd
Pemangku OCPD Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali.

Menurutnya, ketika pemandu kereta membuat pusingan-U, motosikal dinaiki mangsa bersama rakannya dari arah Rembau menuju ke Kota telah merempuh bahagian kanan kenderaan itu.

“Akibat pelanggaran itu, pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal berusia 21 tahun pula cedera parah di bahagian kepala dan dirawat di Zon Kuning Hospital Rembau,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Beliau berkata, pemandu kereta mengalami luka ringan di muka dan kepala serta menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Rembau.

Katanya, penumpang wanita warga emas pula mengalami kecederaan pada muka dan badan dan dirawat di Zon Kuning hospital sama.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Rembau, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button