JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja sebabkan kemalangan maut akan ditahan selepas keluar hospital

KUCHING – Remaja lelaki yang memandu kereta Proton Saga yang dipercayai mengakibatkan kemalangan mengorbankan lima mangsa di Jalan Teo Kui Sing-Stubong Baru, semalam akan ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, remaja berusia 16 tahun itu masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana cedera di dagu, kedua belah tangan dan kaki kanan.

“Dia masih di dalam wad. Kita tunggu dia dibenarkan keluar dulu,” katanya kepada portal Buletin TV3, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Siasatan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membenarkan remaja terbabit memandu kereta walaupun dia tidak memiliki lesen.

Difahamkan, ketika kejadian, kereta dipandu remaja terbabit turut membawa tiga penumpang termasuk dua rakan sekolahnya.

Kedua-dua rakannya yang berusia 16 tahun maut dalam kejadian itu manakala seorang lagi penumpang iaitu seorang wanita berusia 20 tahun cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, kereta yang dipandu remaja itu dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh dua kereta dan dua motosikal.

Akibat rempuhan itu, dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 42 tahun yang menaiki kereta Proton Saga serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang menunggang motosikal, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu lelaki yang memandu Toyota Altis dan penunggang motosikal, masing-masing berusia 51 tahun selamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button