JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: Sidang media Pengarah JSJ buktikan ‘plot twist’ naratif jahat

CYBERJAYA – Sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, semalam akhirnya mendedahkan ‘plot twist’ mengenai kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu  adalah satu naratif jahat dan jijik.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, sidang media itu sebaliknya mendedahkan, wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah kejadian buli sebelum kematian Zara Qairina.

“Jika keterangan-keterangan di atas boleh dipercayai, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara agar mendakwa individu-individu di dalam keterangan-keterangan itu yang melakukan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah Seksyen 507D (2) KK, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan berkenaan.

“Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan tadi dan pendakwaan dilakukan kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih kepada Datuk M Kumar, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Petugas Khas kerana bertindak pantas.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis diminta tampil ke hadapan.

“Jika ada takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.

“Kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara tetapi dalam masa sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button