JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada kejadian rusuhan libatkan pekebun durian di Raub hari ini

RAUB – Tiada sebarang kejadian rusuhan melibatkan pekebun durian yang menyekat laluan Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) ketika melalui jalan di kawasan Pekan Klau seperti yang tular di media sosial, hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, laluan perjalanan pasukan penguatkuasa semalam tersekat oleh sekumpulan pekebun-pekebun yang diketuai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.

“Semasa kejadian, lebih kurang 50 orang telah bertindak menghalang laluan jalan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan tidak puas hati mereka kerana tanaman pokok durian secara haram yang disyaki ditanam kira-kira 30 tahun lalu, dimusnahkan.

“Pihak polis Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 7 telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video dalam Facebook Penduduk Raub Bentong yang mendakwa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan UPNP disekat dengan penduduk Sungai Klau.

Menurutnya, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat di dalam mana-mana himpunan bantahan operasi pemusnahan tanaman pokok haram di daerah Raub serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di daerah Raub pada Julai tahun lalu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button