BERITA SEMASA

SPRM kekal berani, telus dalam siasatan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited bertindak secara adil, telus dan berani dalam melaksanakan setiap siasatan tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.

Langkah demikian penting bagi memastikan imej, reputasi serta wibawa SPRM selaku agensi penguatkuasaan negara kekal terpelihara daripada sebarang persepsi negatif masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, usaha mempertahankan integriti dan kekal berprinsip tinggi akan sentiasa menjadi keutamaan warga SPRM agar kepercayaaan masyarakat terhadap organisasi ini tidak terhakis.

“SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut (without fear or favour).

“Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terlibat sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar,” katanya.

Perkara berkenaan turut dibincangkan semasa kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Dalam pertemuan hampir sejam berkenaan, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu-isu perundangan serta inisiatif SPRM dalam memperkukuh agenda antirasuah negara.

Kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian daripada siri pertemuan strategik Abd Halim selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 13 Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button