Jasad dalam ruang tayar pesawat dianggar lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun
SEPANG – Polis mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan jasad lelaki dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi daripada Pusat Kawalan Operasi Lapangan (AOCC).
BACA JUGA:
Jasad tanpa identiti ditemukan dalam ruang tayar pesawat di KLIA2
Beliau berkata, pemeriksaan di ruang simpanan tayar sebelah kanan pesawat itu menemukan jasad seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada jasad berkenaan, selain keadaan fizikal mayat yang sudah mereput.
“Berdasarkan saiz fizikal, mangsa dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa memakai ‘hoodie’ berwarna putih dengan gambar di bahagian belakang serta tulisan di bahagian hadapan.
Katanya, mangsa turut memakai seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan berwarna hitam.
“Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa,” katanya lagi.
Jasad itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-8776 8222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







