Polis tahan 7 individu bantu siasatan kes lelaki maut dengan kesan tetakan
IPOH – Polis menahan tiga lagi indvidu bagi membantu siasatan insiden bunuh seorang lelaki berusia 25 tahun dalam kes pergaduhan di Buntong, Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin tangkapan terbaharu itu dilakukan di kawasan Menglembu, pagi tadi, menjadikan kesemua suspek ditahan setakat ini kepada tujuh orang.
Terdahulu, empat suspek berusia antara awal 20-an hingga 30 tahun termasuk suspek utama berjaya ditahan di sekitar Ipoh dan Sungai Siput.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan dipercayai melibatkan isu peribadi.
“Siasatan menunjukkan ia lebih kepada masalah peribadi antara dua kumpulan dan bukan melibatkan unsur jenayah terancang yang serius,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, pihak polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tetakan pukul 11.10 malam, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa ditemukan maut dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak
Dua rakan mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut masih menerima rawatan, masing-masing di hospital kerajaan dan swasta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, situasi keselamatan di Buntong dan seluruh negeri ini adalah terkawal dan berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kemungkinan penglibatan individu lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







