BERITA SEMASA

RUU baharu ganti AUKU perlu bina masyarakat berilmu, berintegriti – pakar perlembagaan

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai peluang penting untuk membentuk kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih konstruktif dalam melahirkan masyarakat berilmu, berintegriti dan memiliki nilai insaniyah.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, rang undang-undang (RUU) baharu yang bakal menggantikan AUKU perlu mengambil kira pembinaan masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan profesionalisme, malah menjunjung kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“RUU baharu sepatutnya bersifat lebih konstruktif untuk membina masyarakat berilmu yang memiliki nilai insaniyah dan berintegriti.

“Ia bukan sahaja dari aspek tadbir urus pentadbiran dan profesionalisme, bahkan menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan termasuk Undang-undang Tubuh Negeri Melayu, dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan AUKU hari ini.

Menurut beliau, aspek patriotisme yang melestarikan kesetiaan kepada raja dan negara serta kehidupan beragama juga perlu diberikan perhatian dalam RUU berkenaan kerana dasar dan tadbir urus pendidikan hari ini akan menentukan bentuk masyarakat pada masa akan datang.

“Pendidikan perlu seiring dengan pembinaan negara bangsa yang dicirikan oleh Perlembagaan Persekutuan agar negara tidak berdepan dengan kemajuan tetapi masyarakatnya porak-peranda dan berpecah-belah kerana masing-masing mempunyai idaman mengikut selera peribadi tanpa berpegang pada jati diri watan tanah air yang sepatutnya menjadi identiti bersama.

“Dasar pendidikan mesti tegas untuk mendidik rakyat yang memiliki etika kelas dunia, bukan sekadar melayani tuntutan pelbagai pihak yang kadangkala mempunyai agenda tertentu untuk mengimport nilai hak asasi yang bercanggah dengan Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan supaya RUU baharu memperincikan mekanisme kawalan dan pemantauan terhadap institusi pendidikan, termasuk institusi pendidikan swasta, bagi memastikan sistem pendidikan negara terus berteraskan aspirasi nasional.

Dalam masa sama, katanya, kelonggaran kepada warganegara asing dalam sektor pendidikan tinggi perlu ditambah baik selaras dengan keperluan semasa, manakala mutu penyampaian pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu terus dipertingkatkan.

Menyentuh struktur institusi pendidikan tinggi, beliau berkata kerajaan perlu memperincikan objektif antara universiti penyelidikan, Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kategori universiti lain, termasuk melalui mekanisme penilaian kenaikan pangkat pensyarah serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang berbeza mengikut fungsi setiap institusi.

“Misalnya, jumlah pentadbir dan pensyarah MTUN sewajarnya mempunyai angka yang besar terdiri daripada kalangan profesional yang diambil daripada industri bagi merealisasikan pertumbuhan industri dan pelajar yang mempunyai kecenderungan vokasional dan teknikal,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pemansuhan AUKU bukan sekadar perubahan dari segi perundangan, sebaliknya menjadi landasan kepada transformasi pendidikan tinggi yang mampu membentuk generasi berilmu, berkemahiran, beretika dan mempunyai jati diri sebagai bangsa Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button