POLITIK

PKR mahu kejayaan ekonomi dirasai rakyat

MELAKA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memastikan pencapaian ekonomi negara diterjemahkan kepada kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat, terutama dalam aspek kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Perkara itu antara perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan pada Kongres Nasional PKR ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Pembahas, Jalex Lee berkata, pencapaian ekonomi negara perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan dirasai rakyat.

Menurutnya, kadar pengangguran negara yang kekal pada 3.0 peratus serta nilai pelaburan yang mencecah RM431.1 bilion perlu disusuli dengan manfaat yang lebih jelas kepada rakyat.

“Pencapaian ekonomi makro perlu diterjemahkan kepada bahasa rakyat supaya mereka dapat melihat dan merasai sendiri kesannya.

“Ini termasuk memastikan harga barang stabil serta peluang pekerjaan yang baik, khususnya kepada golongan muda,” katanya dalam perbahasan di Kongrres PKR 2026 hari ini.

Dalam pada itu, usul berkaitan usaha memenangi medan naratif turut menekankan keperluan PKR memperkukuh komunikasi dua hala antara pimpinan parti dan rakyat.

Konsep Rangkaian Analitik, Suara dan Aksi (RASA) serta prinsip FAST iaitu Fatanah, Amanah, Siddiq dan Tabligh diketengahkan bagi memastikan komunikasi parti bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut mengambil kira suara dan pengalaman rakyat.

“Posted tidak sama dengan communicated, dan reached tidak sama dengan felt,” katanya lagi.

Sementara itu, pembahas dari Kedah, Adam Loh mengingatkan supaya lantikan politik dalam agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) tidak dilihat sebagai ganjaran kepada mereka yang mempunyai kesetiaan kepada parti.

:Sebaliknya, setiap jawatan perlu dianggap sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa pimpinan parti supaya lebih kerap turun padang dan mendengar sendiri masalah rakyat, bukan hanya bergantung kepada laporan rasmi.

Dalam perkembangan sama, pembahas dari Selangor, Danish Hairudin membangkitkan isu kos sara hidup termasuk pelaksanaan e-Invois membabitkan peniaga kecil serta had kelayakan bantuan subsidi BUDI95.

Beliau mencadangkan kerajaan menilai semula pelaksanaan dasar berkenaan bagi memastikan ia tidak membebankan golongan yang terjejas.

Danish turut mengingatkan pimpinan parti supaya tidak mengabaikan suara akar umbi dan memastikan perjuangan PKR terus berlandaskan prinsip asal parti.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasar menegaskan parti itu perlu kekal dengan prinsip Reformasi selain memastikan agenda Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada keutamaan nasional.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan ‘sakau’, termasuk dalam usaha memperkukuh integriti pentadbiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button