Perwakilan PKR persoal keikhlasan, kesetiaan UMNO
AYER KEROH – Para perwakilan pada Kongres Nasional PKR 2026 hari ini menyelar UMNO kerana “menikam PKR dari belakang” dan mempersoalkan keikhlasan dan kesetiaan parti itu sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beberapa perwakilan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama PKR dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerusi Pakatan Harapan (PH), dengan mendakwa kerjasama di peringkat Persekutuan tidak diterjemahkan kepada kerjasama pilihan raya, khususnya pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perwakilan PKR Selangor, Danish Hairudin berkata, kedua-dua PRN itu mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai sikap tidak ikhlas dan kurang solidariti UMNO, walaupun kedua-dua parti menjalin kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kerjasama politik sememangnya diperlukan demi kestabilan, namun tidak seharusnya mengorbankan kepentingan atau maruah PKR.
“Kita menerima mereka sebagai rakan kerana negara memerlukan kestabilan, tetapi persahabatan politik mesti ada batas dan maruah.
“Kita tidak boleh berjabat tangan di Putrajaya, tetapi di medan politik, tangan yang sama menikam kita dari belakang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.
Danish yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa, sikap tidak setia UMNO jelas dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, walaupun kedua-dua parti merupakan rakan di peringkat Persekutuan.
“Di Johor, UMNO menikam kita. Di Negeri Sembilan, UMNO memenggal kita, walaupun kita tinggal di bawah bumbung yang sama. Adakah kita masih mahu berdiam diri?” katanya.
Beliau berkata, akar umbi mahu kepimpinan PKR diberikan mandat untuk membuat keputusan politik yang lebih tegas, sekali gus membolehkan parti dan jenteranya bergerak ke hadapan.
Danish berkata, PKR tidak pernah menuntut UMNO tunduk kepada parti itu atau meninggalkan identiti politiknya, namun menegaskan kerjasama perlu dibina atas dasar keikhlasan dan saling menghormati.
“Kita terlalu sibuk menjaga perasaan orang lain sehingga terlupa untuk menjaga keluarga sendiri.
“Biarlah kongres ini menghantar mesej yang jelas: mereka yang setia, kita hargai; mereka yang menjadi rakan, kita hormati; tetapi mereka yang menyerang kita, kita akan lawan — sebagaimana kita telah berjuang sepanjang 20 tahun lalu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

