Syarikat pengendali bas nafi guna pemandu lori sebagai pemandu gantian
KOTA BHARU – Syarikat Kenari Utara, pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi, menafikan dakwaan bas terlibat dipandu pemandu lori sebagai pemandu gantian.
Pegawai Operasi syarikat itu, Mohd Nazri Nawi, mengakui pihaknya menggunakan pemandu gantian, susulan pemandu tetap bas berkenaan bercuti atas urusan keluarga, lapor SH Online.
Beliau bagaimanapun kecewa dengan dakwaan individu yang pihaknya menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk menghantar kumpulan pelajar berkenaan.
“Kami memang menafikan perkara itu kerana pemandu yang berasal dari Besut itu seorang yang berpengalaman,” katanya hari ini.
Jelas beliau lagi, pemandu berusia 52 tahun itu mempunyai pengalaman luas memandu bas ekspres dan tiada sebarang rekod kesalahan berkaitan dadah atau jenayah.
Sebelum ini, terdapat laporan media yang menyatakan bas tersebut menggunakan khidmat seorang pemandu lori bagi menggantikan pemandu asal bas berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nazri turut menyatakan kesediaan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut UPSI di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, awal pagi pagi tadi.
Beliau juga memaklumkan kedua-dua pemandu bas yang terlibat dalam nahas tersebut, masing-masing berusia 39 dan 52 tahun, berasal dari Besut, Terengganu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








