BERITA SEMASA

Negara hilang hampir 6,000 tenaga mahir setiap tahun akibat kemalangan

BAGAN DATUK – Sebanyak 60,000 nyawa direkodkan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di negara ini dalam tempoh 10 tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu amat membimbangkan apabila sebanyak 82 peratus daripada angka tersebut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Bayangkan jika 6,000 meninggal dunia setiap tahun untuk tempoh 10 tahun lepas, terdapat 60,000 kematian disebabkan jalan raya. Ini statistik atau perangkaan yang amat mengecewakan kerajaan.

“Kira-kira 90 peratus daripada sejumlah 6,000 yang maut akibat kemalangan jalan raya ialah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah dan menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja mahir hampir setiap tahun,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merayu terutamanya generasi muda supaya sentiasa menyayangi nyawa sendiri semasa memandu atau menunggang motosikal.

“Sayangilah nyawa, sayangilah ibu bapa, sayangilah keluarga, sayangilah masyarakat dan negara. Sesungguhnya negara memerlukan tenaga-tenaga muda yang merupakan aset kepada negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga gemar menunggang motosikal berkuasa rendah atau lebih dikenali sebagai kapcai dan juga motosikal berkuasa tinggi, namun sentiasa mematuhi peraturan dan panduan jalan raya yang ditetapkan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan sebanyak 650 orang terdiri pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam serta belia kategori B40 menerima manfaat daripada Program MyLesen B2 bagi tahun ini.

Menurut kenyataan JPJ, pada separuh pertama 2025, lebih 15,000 peserta Program MyLesen berjaya memperoleh lesen memandu motosikal B2 secara percuma, dengan peruntukan berjumlah RM5.2 juta yang ditanggung oleh kerajaan.

Berdasarkan kepada sambutan yang amat menggalakkan, kuota pemohon baharu telah ditambah sebanyak 10,000 pada pertengahan tahun ini bagi memenuhi permintaan tinggi daripada rakyat di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button