Pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut digilis lori ayam ketika bertugas
KULAI – Dua pekerja penyelenggaraan jalan maut selepas lori membawa muatan ayam merempuh lori kerja yang mereka naiki ketika menjalankan tugas di Kilometer 49.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi individu yang berada dalam lori muatan ayam cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori tangki, lori penyelenggaraan Propel dan lori membawa muatan ayam.
Menurut beliau, ketika kejadian, lori tangki yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama lori Propel yang dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun serta kelindannya warga Bangladesh berusia 56 tahun sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bahu kiri lebuh raya.
“Ketika kerja-kerja tersebut dijalankan, sebuah lori membawa muatan ayam yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama kelindannya berusia 23 tahun datang dari arah belakang sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori Propel.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori Propel dan kelindannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori membawa muatan ayam mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Kulai.
Menurutnya, pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








