JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki maut dilanggar lori ketika pasang bendera kempen

SEREMBAN – Seorang lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari ketika memasang bendera kempen sebuah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Jalan Kuala Sawah-Rantau berdekatan Kampung Belangkan, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Yatim Osman, dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, mangsa berusia 34 tahun sedang berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau bagi menjalankan kerja-kerja memasang bendera.

Siasatan awal mendapati, sebuah lori dengan nombor pendaftaran yang masih belum dikenal pasti, dipercayai telah melanggar tiang papan tanda sebelum merempuh mangsa yang berada di bahu jalan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan usaha mengesan kenderaan serta pemandu terbabit sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yatim menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin menerusi talian 019-461 1794 atau 06-603 3222 (Bilik Gerakan IPD Seremban), atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button