LUAR NEGARA

Polis kenal pasti suspek insiden tembakan di gereja

2 kanak-kanak terbunuh, 17 lagi cedera

MINNEAPOLIS – Polis mengesahkan suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah gereja Katolik yang membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan 17 yang lain sebagai seorang transgender.

Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara dipetik sebagai berkata, suspek dikenal pasti sebagai Robin Westman, 23, bersenjatakan selaras raifal, senapang patah dan pistol.

“Suspek melepaskan tembakan menerusi tingkap gereja ketika orang ramai sedang melakukan upacara berdoa,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini lapor portal berita WTOP.

Tambahnya, kanak-kanak yang terbunuh berusia antara 8 dan 10 tahun manakala 14 kanak-kanak lain serta tiga jemaah gereja berusia lebih 80 tahun cedera.

Beliau turut memberitahu, suspek ditemukan maut dengan kesan tembakan dipercayai akibat menembak dirinya sendiri.

Menurut O’Hara, pihak polis masih belum menemukan sebarang kaitan antara suspek dan gereja tersebut, mahupun menentukan motif pertumpahan darah itu.

Beliau bagaimanapun berkata, penyiasat sedang meneliti satu hantaran media sosial yang dipercayai menunjukkan suspek berada di lokasi kejadian.

Media tempatan menyebut, suspek memuat naik sekurang-kurangnya dua video di akaun Youtube miliknya sebelum melakukan serangan tembakan tersebut.

Dalam satu video, suspek menunjukkan timbunan senjata dan peluru, sebahagiannya dengan tulisan seperti “bunuh Donald Trump” dan “Di mana Tuhanmu?”.

Video kedua pula memperlihatkan suspek menunjuk ke arah dua tingkap luar pada lukisan yang kelihatan seperti bangunan gereja, sebelum menikamnya dengan sebilah pisau panjang.

Keuda-dua video itu difahamkan sudah dipadamkan oleh pengendali Youtube.

Pengarah FBI, Kash Patel dalam satu hantaran di akaun X miliknya berkata, insiden tembakan itu sedang disiasat sebagai tindakan keganasan domestik dan jenayah kebencian yang menyasarkan penganut Katolik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button