Dua remaja maut dilanggar kereta hilang kawalan ketika memotong
IPOH – Dua remaja perempuan dilaporkan maut setelah motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang, lapor BERNAMA.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum merempuh sebuah motosikal, sebuah lagi kereta di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berusia 28 tahun serta kanak-kanak lelaki itu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan kejadian, tambahnya, pemandu kereta berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















