Bekalan diesel kepada lebih 20 hospital di Gaza dihentikan
GAZA – Lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di Gaza berdepan ancaman gangguan operasi selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan untuk menghentikan bekalan diesel kepada kemudahan berkenaan bermula 19 September ini susulan kekangan dana.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, keputusan itu dibuat ketika bekalan bahan api ke wilayah berkenaan semakin berkurangan sehingga tidak mencukupi untuk memastikan hospital dan pusat kesihatan beroperasi pada tahap minimum.
Menurut laporan berita antarabangsa, jumlah bahan api yang berjaya memasuki Gaza ketika ini hanya membolehkan kemudahan kesihatan meneruskan operasi asas.
“Penghentian bekalan ini bukan sekadar bermakna generator terhenti, tetapi juga penutupan dewan bedah dan unit rawatan rapi, gangguan kepada mesin bantuan pernafasan serta stesen oksigen.
“Ia turut mengancam nyawa bayi dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa yang cedera dan mereka yang menghidap penyakit kronik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, krisis bahan api itu turut menjejaskan perkhidmatan ambulans serta rantaian penyejuk yang diperlukan untuk menyimpan ubat-ubatan dan vaksin.
Bursh menyifatkan penghentian bekalan diesel kepada hospital sebagai ‘pembunuhan senyap terhadap pesakit di katil mereka’ sambil menggesa WHO, negara penderma dan komuniti antarabangsa memastikan bekalan bahan api serta minyak disalurkan dalam jumlah mencukupi dan selamat.
Krisis itu berlaku ketika beberapa generator hospital dilaporkan sudah terhenti akibat kekurangan minyak dan alat ganti.
Generator menjadi sumber utama tenaga elektrik bagi hospital di Gaza selepas bekalan elektrik wilayah itu terputus sejak perang bermula pada Oktober 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








