LUAR NEGARA

Israel umum rancangan usir penduduk Palestin dari bandar ke selatan Gaza

GAZA – Israel mengumumkan persiapan untuk mengusir secara paksa penduduk Palestin dari kawasan yang digelar ‘zon pertempuran’ ke bahagian selatan Gaza bermula hari ini, hanya beberapa hari selepas mengisytiharkan serangan baharu bagi menawan kota Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah terkepung itu.

Jurucakap tentera Israel berbahasa Arab, Avichay Adraee semalam berkata, penduduk akan diberikan khemah dan kelengkapan perlindungan lain yang dibawa masuk melalui lintasan Karem Abu Salem (Kerem Shalom) dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa, lapor Al Jazeera.

Bagaimanapun, PBB setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan tersebut mahupun penglibatannya dalam penyediaan bantuan kemanusiaan.

gaza
Lebih sejuta penduduk di Bandar Gaza bakal diusir ke selatan oleh tentera Israel .

Pengumuman itu hadir kurang seminggu selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendedahkan bahawa tentera telah diberi lampu hijau untuk ‘membongkar’ dua kubu terakhir Hamas yang didakwa masih wujud iaitu Kota Gaza di utara dan kawasan al-Mawasi di selatan.

Tentera Israel tidak menjelaskan sama ada kelengkapan perlindungan tersebut khusus untuk kira-kira sejuta penduduk Bandar Gaza pada masa ini atau jika lokasi perpindahan di selatan Gaza itu melibatkan Rafah, kawasan bersempadan dengan Mesir.

PBB sebelum ini memberi amaran pada Khamis bahawa ribuan keluarga yang sudah pun hidup dalam keadaan kemanusiaan yang amat teruk boleh terjerumus ke tahap lebih parah sekiranya rancangan pemindahan Bandar Gaza diteruskan.

Sementara itu, kumpulan jihad Islam Palestin, sekutu Hamas menyifatkan pengumuman tentera Israel itu sebagai sebahagian daripada serangan kejam untuk menduduki Bandar Gaza dan ‘satu penghinaan terang-terangan terhadap konvensyen antarabangsa’.

“Memaksa rakyat melarikan diri dalam keadaan kebuluran, pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran adalah jenayah berterusan terhadap kemanusiaan.

“Kezaliman di Gaza tidak dapat dipisahkan daripada jenayah harian rejim penjajah di Tebing Barat yang diduduki,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Sepanjang minggu lalu, serangan Israel semakin giat di pinggir Gaza City, termasuk di kejiranan Zeitoun dan Shujayea yang berdepan serangan udara serta bedilan kereta kebal.

Agensi berita Wafa melaporkan sebuah dron Israel telah menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan Asqaula, kejiranan Zeitoun, timur Bandar Gaza, mengakibatkan dua orang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button