Anwar terima kunjungan Imam Masjid Al-Aqsa, bincang usaha pembebasan Palestin
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Imam Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Syeikh Ali Umar Yaqoub Abbasi dalam satu pertemuan yang berlangsung penuh makna dan kemesraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada Perdana Menteri berkongsi inisiatif serta usaha berterusan Kerajaan MADANI berkaitan pembebasan Masjidil Aqsa dan sokongan kepada rakyat Palestin.
Menurut beliau, Anwar kekal konsisten memperjuangkan isu Palestin sejak usia muda lagi, termasuk ketika aktif memimpin pertubuhan belia dan dakwah seperti World Assembly of Muslim Youth (WAMY), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) pada era 1970-an.

“Syeikh Ali Umar Yaqoub Abbasi yang menetap di kawasan Masjid Al-Aqsa turut berkongsi keadaan semasa di Al-Quds, termasuk cabaran yang dihadapi rakyat Palestin di sana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Zulkifli berkata, imam berkenaan turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan dan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu mendoakan serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, sama ada di Gaza mahupun Al-Quds.
“Pada akhir pertemuan, Syeikh Ali Umar Yaqoub Abbasi membacakan doa khas yang panjang untuk Perdana Menteri dan negara Malaysia,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan pertemuan itu memperlihatkan hubungan yang mesra dan erat antara Anwar dan imam Masjid Al-Aqsa berkenaan, selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus bekerja demi umat Islam sejagat.
“Kerajaan MADANI akan terus berusaha dan melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan berlandaskan semangat fastabiqul khairat demi kesejahteraan umat dan keamanan sejagat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








