Singapura dalam proses hantar bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza
SINGAPURA – Singapura sedang dalam proses untuk menghantar bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza, yang merangkumi makanan, bekalan penting dan bekalan perubatan.
Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan memaklumkan aturan penghantaran bantuan itu telah disahkan dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Safadi, sehari sebelumnya.
“Ia akan diangkut menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), dan kami akan menyerahkannya kepada rakan kongsi kami di Jordan,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen West Coast GRC, Ang Wei Neng semalam.
Balakrishnan berkata, sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, Singapura dan rakyat Singapura telah menyumbangkan enam agihan bantuan kemanusiaan bernilai lebih S$19 juta atau lebih RM62 juta.
Beliau berkata, Singapura akan terus menyumbang secara dua hala atau bekerjasama dengan pihak lain di rantau itu, memandangkan keperluan pembinaan semula yang signifikan untuk Gaza.
“Kami juga bersedia, melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkatkan kami, untuk menyokong program latihan di Gaza, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin,” katanya.
Sementara itu, Balakrishnan berkata, fasa dua dan fasa tiga gencatan senjata Hamas-Israel akan sangat rumit dan bergantung pada kemahuan politik dan keberanian para pemimpin di semua pihak.
Justeru, Singapura menggesa semua pihak untuk mematuhi terma perjanjian, terutamanya untuk membolehkan bantuan kemanusiaan mengalir, yang penting untuk mengurangkan situasi kemanusiaan yang teruk.
“Terdapat peranan yang sangat terhad bagi kita di sini, berkenaan dengan isu itu. Kedua-dua pihak Israel dan Palestin yang telah kita libatkan mengetahui kedudukan kita. Kita berdiri untuk keamanan. Kita berdiri untuk pembangunan,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








