ARMADA persoal Gobind, minta penjelasan Peguam Negara ketika kes Lim Guan Eng digugurkan
KUALA LUMPUR – ARMADA BERSATU Malaysia mempersoalkan sama ada Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo pernah menuntut penjelasan daripada Peguam Negara berhubung keputusan menggugurkan kes rasuah membabitkan pembelian banglo Jalan Pinhorn oleh Lim Guan Eng pada 2018.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, persoalan itu timbul susulan gesaan Gobind supaya Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memberikan penjelasan berhubung keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adakah beliau pernah menuntut penjelasan terbuka daripada Peguam Negara apabila kes rasuah pembelian banglo di Jalan Pinhorn bawah nilai pasaran dan urus niaga tanah membabitkan Lim Guan Eng digugurkan sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) pada September 2018 dahulu?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 2018, Lim yang ketika itu Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn serta pertuduhan berkaitan penukaran status tanah.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan.
SPRM ketika itu turut menyatakan pihaknya terkejut dengan keputusan berkenaan dan menegaskan keputusan menarik balik kes dibuat oleh Pejabat Peguam Negara, bukannya agensi antirasuah tersebut.
Harris mendakwa pendirian Gobind berhubung kepentingan awam dan akauntabiliti perundangan kini dilihat tidak konsisten.
“ARMADA mempersoalkan mengapa kelantangan Gobind mengenai kepentingan awam tidak kedengaran ketika SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan rasa amat terkejut dengan pengguguran kes pemimpin DAP itu ketika perbicaraan sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata, ARMADA berpandangan prinsip keluhuran undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua pihak tanpa mengira individu atau parti politik.
Dalam pada itu, Harris turut mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan dalam kes Jana Wibawa.
Semalam, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon supaya pendakwaan dihentikan di bawah Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Muhyiddin bagaimanapun masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dakwaan menerima RM25.3 juta berkaitan Jana Wibawa.
Sementara itu, Gobind sebelum ini menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan menghentikan empat pertuduhan terhadap Muhyiddin, dengan menyifatkan ketelusan penting kerana kes berkenaan mendapat perhatian awam.
Harris berkata ARMADA berharap pimpinan DAP menghentikan apa yang disifatkannya sebagai ‘sandiwara politik’ dan tidak mempersoalkan keputusan mahkamah mengikut kepentingan politik.
“BERSATU kini sedia bangkit dengan solidariti penuh dan kekuatan total, dan kami tidak akan membiarkan prinsip keadilan negara dipermainkan mengikut selera politik sempit DAP,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







