Industri kandungan digital Malaysia catat impak terkumpul RM87.25 bilion – Gobind
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM87.25 bilion jumlah hasil impak terkumpul dicatatkan industri kandungan digital Malaysia, merangkumi eksport bernilai RM11.18 bilion dan pelaburan mencecah RM80.26 bilion dari tahun 2011 hingga 2023.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, industri kandungan digital memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan mewujudkan 8,200 peluang pekerjaan setakat tahun 2023.
“Malaysia kini mempunyai lebih 300 syarikat kandungan digital tempatan, yang menyumbang kira-kira RM1.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan CICC Capital Management Co. Ltd (CICC Capital), cabang syarikat pelaburan ekuiti swasta kepada China International Capital Corporation Limited (CICC), semalam.
MoU tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama antara MDEC dan CICC Capital dalam menubuhkan Dana Permainan dan Kandungan Digital China-Malaysia, dengan saiz dana lebih RM400 juta.
Gobind berkata, dana strategik itu bakal memperkukuh industri kandungan digital Malaysia memandangkan minat serta keyakinan global terhadap negara sebagai hab permainan video di rantau ini semakin meningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Beliau yakin Malaysia mampu membangun sebagai hab permainan video serantau melalui kerjasama baharu antara syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, syarikat kandungan kreatif tempatan terus meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kemampuan industri kreatif negara.
Antaranya, 7th Beat Games mencipta sejarah sebagai studio Malaysia pertama memenangi Anugerah Independent Games Festival (IGF) 2024 di California, Amerika Syarikat menerusi permainan Rhythm Doctor.
Beberapa judul animasi tempatan seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, dan Didi & Friends turut mendapat sambutan menggalakkan di pasaran global, sekali gus mengangkat reputasi kreatif negara dan merangsang pertumbuhan eksport.
Selain itu, studio permainan seperti Passion Republic dan Glow Production turut menembusi pasaran antarabangsa menerusi penghasilan seni dan pembangunan bersama untuk judul terkenal seperti Spider-Man Remastered, Baldur’s Gate 3 dan Elden Ring.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







